Malaysiakini
KOLUM

KOLUM | Syair Dagang Adanya untuk CEO GLC

Faisal Tehrani

Diterbitkan
Dikemaskini 29 Mei 2020, 5:11 pagi
0

Terdapat sebuah teks Syair Melayu yang bertajuk Syair Dagang Adanya (MSS 3160) yang diperoleh oleh al-Marhum Ustaz Wan Mohd Shaghir tetapi sayang sekali tanpa tarikh, tanpa penyair, tiada nama tempat dan lain-lain rujukan. Naskah ini sudah dikaji oleh Mohd Muhaimi Abdul Rahman dan Salmah Jan Noor Muhammad.

Syair Dagang Adanya ini ditulis dengan dakwat dari getah damar.

Dagang, di dalam syair ini menurunkan pelbagai nasihat meliputi kehidupan bermasyarakat ketika menghadapi pelbagai pancaroba dan dugaan. Terdapat satu segmen di dalam syair ini yang menjelaskan perihal hal ehwal berniaga dan peniaganya. Saya kira ia elok diketengahkan kepada umum, moga-moga terdapat manfaat untuk kita. Segmen ini antara lain memesankan pembaca atau sasarannya perihal rukun dan syarat dalam perniagaan.

Saya membayangkan, perniagaan di era pandemik ini akan sangat mencabar. Saya membayangkan membaca naskah syair ini di saat pemerintahan sebuah kerajaan yang mengaku menegakkan tunjang budaya Melayu-Islam. Saya mengkhayalkan kerajaan Melayu-Islam ini menyarankan CEO Syarikat Milik Kerajaan atau GLC mengambil pesan dan amanat dari syair ini. Saya mendambakan para tokoh korporat mengerti kandungan budaya Melayu-Islam yang dianjurkan oleh Syair Dagang Adanya ini.

Pertamanya, syair ini memberikan empat syarat seorang peniaga, katakan – katakanlah – seorang CEO GLC dari lantikan Parti Islam Semalaysia. Bait berkenaan berbunyi:

Hamba khabarkan suatu pendapat
Berniaga itu fardhunya empat
Pertama cerdik kedua cepat
Ketiga jujur lagi disifat.

Bait di atas menghujahkan agar seorang pengarah atau peniaga, tokoh korporat atau saudagar itu tidak boleh bodoh, bangang, blur, tidak tahu apa, bukan bidang dan baghal. Pokoknya kena cerdik dan cerdas. Manakala ia juga mesti cekatan membuat keputusan yakni ‘cepat’, dan sudah tentu cepat itu bukanlah bermakna cepat mengebas atau menyauk wang syarikat. Cepat di sini bererti tangkas dan ia dihubungkan dengan kata cerdik untuk membuat keputusan. Dalam era pandemik ini, mana-mana GLC yang diketuai CEO yang lembab dan lambat, atau lebam; atau sekadar reti membaca doa dan bersujud syukur; itu tidak memadai. Ini bukan saya yang kata. Ini adalah pengajaran dari Syair Dagang Adanya.

Jujur dan amanah

Perkara lain tentulah tuntutan agar jujur dan amanah. Tanpa kejujuran dan Amanah, segala urusan perdagangan akan menemui kebuntuan. Hal jujur dan amanah ini dikaitkan dengan tanggungjawab seseorang peniaga atau dalam konteks hari ini, seorang CEO GLC – katakan – dari Parti Islam Semalaysia. Kerana bait syair seterusnya berbunyi:

Keempat jaga dengan harta orang
Fiilmu jangan sebarang-barang
Nafsu yang jahat lawan berperang
Orang percaya tiadakan kurang.

Perhatikan baris ‘keempat jaga dengan harta orang’, sayugia diingatkan kerja GLC ini bukan sahaja beroleh bulan-bulan gaji besar yang kadang kala sampai ratus ribu bila dicampur-campur dengan elaun dan imbuhan tepi; kerja GLC ini ada beban yang dimata-matai oleh malaikat kerana ‘menjaga harta orang’, misalnya seseorang yang diamanahkan menjaga Tabung Haji, itu kan jelas sekali menjagakan harta orang. Jangan rasa senang bahawa apa yang dikurniai ini satu habuan politik dan kesetiaan semata-mata. Ia lebih dari itu. Oleh sebab kalian sudah mendapat, hendak sangat, maka galaslah dengan tanggungjawab dan kesungguhan.

Sebab itu pengarang syair ini turut memberi amaran, ‘fiilmu jangan sebarang-barang’ ini kerana kerjaan GLC itu kalau sebarang-barang akan mendatangkan rugi. Dan rugi itu bukan rugi materi, tetapi tentu para penyandang GLC dari Melayu-Islam akan tahu rugi itu ialah rugi akhirat, yang membuka jalan kepada cemeti cambuk malaikat di alam kubur dan di pintu lohong neraka. Sementara kalau rugi materi, tentu saja akan mendapat kutukan rakyat.

Tentu sahaja menjadi CEO atau tokoh korporat itu akan dibayangi dan diintai oleh himpitan kiri kanan yang menurut pengarang syair; ‘nafsu yang jahat lawan berperang’ iaitu kebolehdayaan melawan nafsu serakah, maklumlah, sebelum ini tidak pernah mendapat; sekarang sudah beroleh tunai berkepuk maka tentulah banyak dugaan dan ujian mendatangi.

Sebab jika seseorang CEO GLC dari Melayu-Islam itu tumbang dek nafsu, sudahnya akan menghakis kepercayaan orang. Dan, yang dimaksudkan di sini kepercayaan orang bukanlah kepada peniaga atau saudagar, atau CEO itu, tetapi kepada Islam-Melayu, ini kerana sudahlah sekali Melayu-Islam dipandang menghalalkan pengkhianatan; nanti dipandang orang Melayu-Islam itu juga menghalalkan ehwal nafsu-nafsi sehingga haloba, tamak dan keserakahan. Kalau sampai berkali-kali Melayu-Islam dipandang khianat dan seleweng; siapa yang akan malu?

Syair Dagang Adanya menekankan seseorang peniaga itu jangan terbiasa menipu. Akan tetapi memanglah nasihat seperti ini jatuh air bercucuran dari atas atap lakunya memandangkan kerja menipu membohong memang terbiasa sudah dalam kalangan agamawan, duta khas kaki ponteng, politikus Melayu haprak Islam hipokrit. Bait syair menegaskan:

Ingat-ingat sekaliannya kita
Ibarat hamba di sini nyata
Jikalau benar tiada dusta
Tentulah murah barang di China.

Jangan dusta, tipu, khianat

Nah, berurusan niaga dengan China atau CINA pun dipesankan supaya Melayu-Islam jangan berbuat dusta, tipu atau khianat kerana kalau sekali menipu, akan diingat orang. Akan tetapi kalau berkata yang benar, pembekal yang kita berurusan niaga di China, iaitu dengan CINA pun, akan sanggup memberi barangan murah.

Ini kerana di sebelah China, perkiraannya bukan sangat Melayu-Islam tetapi fiil elok yakni jangan berbuat dusta. Itulah sebabnya kata orang Melayu dulu, CINA tidak pandang serban besar menunjuk awan, atau jubah labuh menyapu tahi ayam, apatah lagi ilmu fikah tabayyun atau ilmu siasah Muawiyah-Ali. Bahasa kepercayaan orang berniaga seperti Siti Khadijah ialah jangan berdusta, dan jangan fiil bukan-bukan. Kalau kaki khianat, mungkir janji, menipu kemudian pandai berdoa dan bersujud; akhirnya akan diumpat orang juga sampai ke kubur.

Syarat seterusnya yang dipesan oleh Syair Dagang Adanya adalah menuntut pengalaman dan bimbingan nasihat orang berpengalaman. Tambah-tambah jika yang menjawat posisi di GLC itu sekadar ustaz tanpa reti dan hanya kaya retis. Ini kerana berniaga dan berdagang ala GLC ini harus memperkirakan berniaga itu ibarat air pasang surut.

Isyarat berniaga hendak dipilih
Pandangkan air sentiasa meleleh
Jikalau tidak itu ditoleh
Harta dicari dimanakan boleh.

Fikir olehmu akan maknanya
Air yang surut ada pasangnya
Ingat-ingat akan adanya
Tiap-tiap mudah ada masalahnya.

Berniaga ibarat mengunting baju
Terambil emas di dalam teraju
Misalnya belayar perahu yang laju
Ke tengah lautan baik dituju.

‘Air sentiasa meleleh’

Perhatikan ungkapan ‘air sentiasa meleleh’ itu adalah mengenai pasang-surut berniaga seperti air, dan dalam era pandemik begini yang mana perniagaan menuntut pengalaman dan bimbingan, mengagih GLC kepada CEO yang kaki leleh-lewa, boleh menyebabkan perniagaan langsung terbungkam langsung karam. Manakala pesan ‘berniaga ibarat mengunting baju; Terambil emas di dalam teraju’ adalah satu dorongan agar peniaga menimbangkan berguru dan bertanya dengan orang yang mengerti dan bukan orang yang haloba bernafsu sahaja. Jadi, CEO baru dari – katakanlah – Parti Islam Semalaysia jangan tunjuk pandai apatah lagi memandai-mandai. Orang yang arif sedang memerhati. Kalau rugi kelak mendatang kutukan dan kebencian ramai.

Itulah sebabnya, bait akhir syair di segmen ‘jual-beli’ ini menyuguhkan rangkap;

Demikian belayar tiada maklumnya
Tiadalah tentu tuju haluannya
Berniaga tiada dengan gurunya
Tiadalah tentu jual belinya.

Sesungguhnya Syair Dagang Adanya ini adalah petua dan tunjuk-ajar Melayu-Islam sesuai dan amat cocok untuk mereka yang mengagungkan Melayu-Islam. Saya membayangkan, perniagaan di era pandemik ini akan sangat mencabar. Saya membayangkan betapa seru membaca naskah syair ini di saat pemerintahan sebuah kerajaan yang mengaku menegakkan tunjang budaya Melayu-Islam. Saya mengkhayalkan kerajaan Melayu-Islam ini menyarankan CEO Syarikat Milik Kerajaan atau GLC mengambil pesan dan amanat dari syair ini. Istimewa CEO itu para ustaz dengan kopiah putih mulus, dan wuduk yang tidak terbatal. Saya mendambakan para tokoh korporat mengerti kandungan budaya Melayu-Islam yang dianjurkan oleh Syair Dagang Adanya ini.

Bukan apa kalau kerajaan Melayu-Islam ini berjaya maka Melayu-Islam akan mendapat laba; tetapi kalau Melayu-Islam awal-awal lagi tertegak dengan mengkhianat, kemudian ditokok dusta berniaga, dan korup Naudzubillah; nanti yang mendapat nama buruk ialah Melayu-Islam juga. Padahal melayu-Islam tidak begitu. Jika itu terjadi, makin lama ustaz direndam dalam air hangat di nuraka bersama-sama iblis kelak.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.