Malaysiakini
BERITA

129 ahli parlimen - Masih dalam proses, kata Anwar

Diterbitkan
Dikemaskini 29 Mei 2020, 7:04 pagi

Persoalan sama ada Pakatan Harapan mempunyai 129 ahli parlimen di pihaknya, masih dalam proses, dan belum dimuktamadkan, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Namun, menurut beliau, perkara itu tidak dibincangkan pada mesyuarat ahli parlimen PKR semalam.

“Mengenai 129 ahli parlimen, atau 130, ini kita (PKR) tak bincang pasal hal-hal ini masih dalam proses, belum muktamad.

“Kita sedang bincang dengan baik, yang penting dalam perbincangan itu bukan soal nombor , bukan soal kuasa.

“Kita dah banyak kali berkuasa, yang tidak menumpukan pada mendapatkan nombor atau kuasa. Pergi balik pergi balik jahanam juga kepentingan rakyat,” katanya sesi secara langsung di Facebook.

Sebaliknya, katanya perbincangan PKR tertumpu pada agenda untuk meningkatkan ekonomi, institusi negara dan kebajikan masyarakat.

Spekulasi tersebar luas bahawa Pakatan Harapan bersama Dr Mahathir Mohamad, dan Warisan didakwa telah memperoleh 129 anggota parlimen di pihak mereka untuk merampas semula Putrajaya dari Perikatan Nasional.

Semalam, seorang pembantu Dr Mahathir Mohamad menafikan spekulasi mengenai pertemuan bekas perdana menteri itu dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari lalu susulan tindakan Muhyiddin Yassin membawa Bersatu keluar, manakala Azmin Ali bersama 10 wakil rakyat lain meninggalkan PKR. Semua mereka bergabung dengan Umno, BN dan PAS untuk membentuk PN.

Azmin, semalam, ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa PH kini mempunyai sokongan 129 ahli parlimen, sekadar berkata, “kita tidak patut diheret ke satu lagi krisis politik dan dijadikan mangsa hanya kerana seorang yang gila kuasa dan mahu menjadi perdana menteri."

Anwar membalas hari ini, dengan berkata, begitu cara Azmin menepis pengkhianatannya sendiri.

Sementara itu, Anwar ketika diminta mengulas mengenai pemimpin yang sepatutnya diangkat menjadi perdana menteri berkata perkara itu masih dibincangkan, tetapi matlamat utama adalah untuk tidak mengulangi kesilapan masa lalu.

Anwar juga memuji baki 39 anggota parlimen PKR, dengan berkata bahawa beliau mengagumi tindakan mereka yang menolak tawaran untuk menjadi menteri atau pengerusi GLC atas nama prinsip.

Beliau juga mengulangi pandangannya bahawa ahli politik yang sudah menerima gaji dan elaun RM15,000 tidak wajar dilantik menerajui GLC sedangkan ramai di kalangan rakyat yang kehilangan pekerjaan mereka dan bergelut untuk mendapatkan RM1,000.

“Dalam keadaan ekonomi sekarang, apa kata kalau dapat (jawata) GLC, bagi dia elaun RM1,500 sahaja sebulan.

“Tengok dia mahu atau tidak berkhidmat, nak berjuang kerana agama bangsa dan negara, tengok sanggup tidak kita sebagai pemimpin kena bagi contoh baik kepada rakyat,” katanya.

Lebih 30 pemimpin PN telah dilantik menerajui pelbagai GLC sejak PN merampas kuasa pada bulan Mac.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.