Malaysiakini
BERITA

Afif: Keputusan PH singkir saya berat sebelah

Susan Loone

Diterbitkan
Dikemaskini 29 Mei 2020, 7:46 pagi

Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin menyatakan kekecewaannya terhadap keputusan PH Pulau Pinang untuk menggugurkannya daripada blok penyokong kerajaan.

Afif, bekas exco kerajaan negeri, juga diitempatkan di blok pembangkang bersama dua Adun Bersatu yang berubah sokongan kepada gabungan parti pemerintah persekutuan, Perikatan Nasional.

Sebelum ini, ketiga-tiga Adun berkenaan berjanji menyokong kerajaan PH Pulau Pinang dan Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

"Jelas sekali tindakan ini adalah berat sebelah dan tanpa sebarang alasan yang kukuh.

"Tindakan ini juga adalah tidak demokratik dan bertentangan dengan semangat prinsip demokrasi berparlimen.

"Pengumuman Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (Pulau Pinang) ini juga adalah untuk menafikan hak rakyat di Seberang Jaya yang telah mengundi saya untuk mewakili mereka pada Pilihan Raya Umum yang lalu," kata Afif yang juga bekas timbalan ketua AMK PKR.

Beliau mengulas sidang media Ketua Menteri Chow Kon Yeow semalam bahawa Afif, Khalid Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifli Md Lazim (Teluk Bahang) telah dikeluarkan daripada blok kerajaan di DUN Pulau Pinang.

Chow memaklumkan akan mengemukakan usul di DUN Pulau Pinang pada bulan November untuk mengadakan pilihan raya kecil di kawasan-kawasan Adun berkenaan.

Ketua menteri berkata langkah mengadakan pilihan raya kecil itu sesuai dengan undang-undang anti-lompat negeri (Seksyen 114 Rang Undang-Undang Enakmen Perlembagaan Pulau Pinang (Pindaan) 2012).

Malaysiakini telah menghubungi pengerusi PKR Pulau Pinang Muhammad Bakhtiar Wan Chik mengenai kenyataan Afif, dan ahli parlimen Balik Pulau itu berkata beliau akan menjawab perkara itu setelah berbincang dengan pemimpin parti.

Dua Adun Bersatu itu berkata mereka tidak melompat parti, manakala PKR pula telah menggantung Afif kerana isu disiplinberkaitan dengan "Langkah Sheraton" yang menyebabkan keruntuhan kerajaan persekutuan PH pada hujung Februari.

PKR masih belum memutuskan nasib Afif di dalam parti, tetapi Adun itu telah melepaskan jawatan exco Pulau Pinang berikutan nasihat Chow.

Menurut Afif beliau akan tetap istiqamah berkhidmat sebagai Adun untuk menyuarakan kepentingan rakyat di Seberang Jaya dan Pulau Pinang.

Kemalangan ketika berbasikal

"Saya berserah kepada Allah SWT, untuk memberikan saya kekuatan bagi memenuhi amanah saya sebagai wakil rakyat di Seberang Jaya sehingga tamat penggal ini.

"Penyingkiran saya daripada kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang tidak sedikit akan melunturkan semangat saya, dan saya akan menjadi Adun pembangkang yang berkesan dan berusaha untuk mengembeleng sokongan rakyat di negeri ini," jelasnya.

Sementara itu, Afif berkata beliau menerima banyak soalan mengenai keadaan kesihatannya beberapa hari lepas.

Katanya, beliau telah terlibat dalam suatu kemalangan ketika berbasikal pada Selasa lalu di Seberang Jaya.

"...dan mengalami “traumatic brain injury”. Saya telah dimasukkan ke Hospital KPJ Bandar Perda dan telah menerima rawatan pada hari yang sama dan kembali pulih 24 jam pasca trauma.

"Alhamdulillah, semalam saya telah diizinkan oleh doktor untuk pulang daripada hospital dan atas saranan doktor saya akan berehat seketika," katanya.

Difahamkan Menteri Kanan PN Azmin Ali yang juga bekas timbalan presiden PKR telah menziarahi Afif selepas mengadakan lawatan rasmi di Kedah.

[Baca berita penuh]

 

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.