Malaysiakini
BERITA

'Cadangan pinda akta tangani pemandu mabuk ke parlimen dalam masa terdekat'

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 29 Mei 2020, 10:42 pagi

Kerajaan memberi perhatian serius dan akan mengambil tindakan tegas berhubung kes kemalangan maut pengguna jalan raya membabitkan pemandu mabuk yang semakin bertambah mutakhir ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata langkah segera yang akan diambil adalah memastikan cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang dimuktamadkan oleh Kementerian Pengangkutan dibawa ke persidangan Parlimen terdekat.

Katanya antara pindaan yang dibuat bukan sahaja membabitkan peruntukan berkaitan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian iaitu Seksyen 44 (Akta 333), tetapi juga memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan mengikut Seksyen 45 akta sama walaupun tidak terlibat dalam apa-apa kemalangan.

“Kerajaan juga amat menyokong cadangan Kementerian Pengangkutan untuk menetapkan hukuman penjara mandatori terhadap pemandu yang ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk (Seksyen 45) mengikut peruntukan sedia ada masih merupakan kuasa budi bicara mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata dengan meningkatkan kadar denda dan hukuman penjara selepas pindaan dibuat, Jabatan Peguam Negara boleh mendakwa pesalah di Mahkamah Sesyen yang mempunyai bidang kuasa yang lebih tinggi.

Sebagai langkah pencegahan, beliau berkata pihak kerajaan akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara supaya kes yang melibatkan kematian angkara pemandu mabuk turut disiasat dan dituduh mengikut Kanun Keseksaan, termasuk Seksyen 302 iaitu menyebabkan kematian dengan sengaja ataupun Seksyen 307 iaitu cubaan membunuh dengan niat.

“Di samping itu, pihak polis juga perlu membantu keluarga mangsa kemalangan maut akibat pemandu mabuk terutama bagi membolehkan mereka membuat tuntutan sivil di mahkamah sebagai hak mereka di sisi undang-undang,” jelasnya.

Menurut kenyataan itu, meskipun kerajaan bertegas dalam isu kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk, ia tidak bermakna kerajaan menafikan hak orang bukan Islam untuk meminum minuman keras.

“Mereka (orang bukan Islam) bebas berbuat demikian selagi mematuhi segala peruntukan undang-undang yang berkaitan dengannya,” kata Takiyuddin.

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.