Malaysiakini
BERITA

Dr Adham: Seorang dari lima dewasa hidap kencing manis di M'sia

Bernama

Diterbitkan

Seorang daripada lima orang dewasa di Malaysia atau kira-kira 3.9 juta orang berumur 18 tahun ke atas menghidap diabetes, demikian menurut dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba ketika membentangkan tinjauan itu di Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini berkata, prevalens diabetes di negara ini didapati meningkat kepada 18.3 peratus daripada 13.4 peratus, pada tahun 2015.

“Peningkatan diabetes di Malaysia merupakan salah satu dapatan NHMS 2019 yang merisaukan. 

"Sejumlah 49 peratus dari penghidap diabetes di Malaysia, tidak pernah diperiksa atau didiagnosa menghidap penyakit ini,” katanya.

Berdasarkan dapatan NHMS itu, tiga negeri merekodkan penyakit diabetes tertinggi iaitu Negeri Sembilan, Perlis dan Pahang.

50 peratus penduduk dewasa lebih berat badan

Hasil tinjauan NHMS 2019 itu Dr Adham berkata, seorang daripada empat orang dewasa berumur 16 tahun ke atas di Malaysia didapati tidak aktif secara fizikal, selain kira-kira 50 peratus penduduk dewasa di Malaysia, mengalami berlebihan berat badan.

Dr Adham berkata, 95 peratus orang dewasa di Malaysia tidak mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan yang mencukupi.

Menurut Dr Adham, dapatan NHMS 2019 turut mendapati setengah juta rakyat Malaysia dewasa mengalami kemurungan dengan prevalens tertinggi di Putrajaya, Negeri Sembilan dan Perlis.

Selain itu katanya, kira-kira 424,000 kanak-kanak didapati mengalami masalah mental dengan faktor utamanya ialah masalah berinteraksi dengan rakan sebaya, masalah tingkah laku, masalah emosi dan masalah hiperaktif.

“Kita mahukan Malaysia yang sihat,” katanya, sambil menasihatkan rakyat Malaysia bertanggungjawab dan mengambil berat terhadap kesihatan masing-masing dan mengamalkan gaya hidup sihat.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.