Malaysiakini
BERITA

Masih terlalu awal untuk pertimbang tamatkan PKPB

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 29 Mei 2020, 1:57 tengahari

Masih terlalu awal bagi Kementerian Kesihatan (KKM) membuat keputusan sama ada untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selepas 9 Jun, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata adalah penting untuk KKM memantau situasi Covid-19 berikutan sejak dua minggu lepas jumlah rakyat Malaysia yang dijangkiti Covid-19 tidak banyak.

“Dari 4 Mei hingga sekarang hanya terdapat kira-kira 222 rakyat Malaysia yang dijangkiti daripada 1,800 kes (Covid-19) dalam negara,” katanya dalam taklimat harian mengenai perkembangan Covid-19 di KKM di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika ditanya adakah Malaysia sudah bersedia untuk menamatkan PKPB selepas 9 Jun.

Beliau berkata jangkitan Covid-19 kini kebanyakannya membabitkan pekerja asing.

“Melihat pada perkembangan dua hari lepas iaitu walaupun kes meningkat kepada 172 dan 187 kes tetapi jumlah yang melibatkan rakyat Malaysia adalah rendah iaitu pada dua angka.

“Mungkin rakyat Malaysia mengamalkan semua SOP (prosedur operasi standard) tetapi persoalannya adakah pekerja asing mengamalkan SOP.

"Jadi kami perlu mendidik pekerja asing mengenai SOP kerana soal kesihatan melibatkan warganegara dan bukan warganegara,” tegas Dr Noor Hisham.

Beliau berkata sekiranya rakyat Malaysia mematuhi SOP, tidak akan berlaku peningkatan kes pasca-Hari Raya.

“Jadi kita hanya akan tahu pada minggu depan atau minggu berikutnya,” katanya.

Ditanya mengenai saringan dilakukan majikan (terhadap pekerja asing), Dr Noor Hisham berkata KKM sedang memantau perkara itu.

“KKM jangka indeks tinggi akan berlaku membabitkan pekerja asing. Dari 4 Mei hingga 29 Mei, KKM mendapati hampir 78 peratus kes positif Covid-19 di Malaysia membabitkan pekerja asing,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata KKM juga akan berusaha menyelesaikan isu penginapan pekerja asing.

“Saya fikir kami perlu menangani masalah itu, bukan sahaja (untuk) Covid-19 tetapi (untuk) tuberkulosis dan penyakit berjangkit yang lain juga. Jadi ini sesuatu yang kami perlu tangani secara serius dan bekerjasama dengan agensi dan kementerian berkaitan secara menyeluruh,” katanya.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.