Malaysiakini
SUKAN

Chong Wei: Selamat hari raya, kosong-kosong

Diterbitkan
Dikemaskini 24 Mei 2020, 12:46 tengahari

Bekas jaguh badminton negara, Lee Chong Wei menasihatkan rakyat Malaysia yang sedih dengan sambutan Aidilfitri tahun ini yang terjejas susulan wabak Covid-19, supaya terus bersabar.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali itu berharap kesabaran tahun ini akan dibalas dengan kenikmatan perayaan hari raya tahun-tahun akan datang untuk generasi masa depan seperti suasana sambutan sebelum ini.

“Kawan-kawan semua, saya faham semua berasa sedih sebab raya kali ini mungkin terjejas disebabkan coronavirus (Covid-19),” katanya menerusi catatan di laman Facebook hari ini.

“Saya, Wong Mew Choo dan dua anak lelaki, ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumpul (menyusun) sepuluh jari meminta ampun serta mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang meraikannya. Seperti sukan badminton, kita restart ya….Kosong-kosong,” katanya.

Pemain berasal dari Pulau Pinang itu turut mengimbau kembali pengalaman zaman kanak-kanaknya mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri rakan-rakan dan jiran serta bermain mercun meriam.

“First house itu tak kisah rumah siapa, confirm ada rendang ayam, serunding, sambal sotong dan ketupat. Bestnya. Ada lagi Kuih batik! Aduhai, keluar air liur terfikir.

“Time masuk Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), time raya kantin akan sediakan hidangan special. Rombongan ramai-ramai berbaju raya serbu rumah terbuka jurulatih. Itu semua kenangan terindah,” kongsi bekas pemain perseorangan lelaki negara berusia 37 tahun itu.

Sementara itu, jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang yang beraya di Melbourne, Australia menasihatkan rakyat Malaysia supaya menjaga jarak sosial ketika beraya dan melawat saudara mara.

“Kalau korang semua pergi beraya beringat-ingat lah sikit okay, kalau boleh elakkan bersalaman, dan jika anda bersalaman jangan lupa untuk basuh tangan atau guna hand sanitizer.

“Di dalam anda bersuka ria menyambut Hari Raya Aidilfitri ini jangan dilupakan dua perkara, pertama, virus Covid-19 masih berleluasa, kedua saya dan keluarga beraya di perantauan 😭,” katanya, dengan berkongsi ucapan raya dan gambar bersama keluarganya serta rakan sepasukan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Pemain bola sepak naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh turut memuat naik gambar bersama ucapan raya, manakala penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri berkongsi gambar Hari Raya bersama keluarganya.

Juara Liga Super enam kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim turut memuat naik video ucapan raya di laman Facebook rasminya, Johor Southern Tigers yang menampilkan ucapan daripada kapten pasukan Hariss Harun, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, Mohd Izham Tarmizi Roslan dan Safawi Rasid.

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.